Wednesday, August 25, 2010

MOTIVASI: PEMBANGUNAN ROHANIAH

Kelebihan Solat



“Dengan nama Allah yang Maha penurah lagi Maha Penyayang”


“ Tiada Tuhan Melainkan Allah;Muhammad Itu Pesuruh Allah.”

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Ali ‘Imran : 18)

Islam adalah agama yang dibina atas hujah dan dalil. Sumber ajaran yang agung Islam adalah al-Quran dan al-Sunnah. Tiada Islam tanpa hujah dan dalil. Segala cakap kosong tanpa alasan tidak layak untuk dikaitkan dengan agama yang suci ini.

Islam adalah agama Allah yang Maha Mencipta Lagi Maha Mengetahui. Justeru itu, mustahil terdapat dalam ajaran Islam sesuatu yang menyanggahi fakta yang benar dan hakikat ilmiah. Apa sahaja pendapat yang menggunakan nama Islam, namun tidak berpaksi hujah dan dalil dari al-Quran atau al-Sunnah, maka ianya bukan ajaran Islam sekalipun yang memberikan pendapat itu menyangkut kan pada dirinya berbagai gelaran agama, atau memakai bermacam pakaian yang dikaitkan dengan agama. Demikian juga, apa sahaja pandangan yang dikaitkan dengan

Islam jika terbukti secara realitinya bercanggah dengan hakikat alam atau fakta sains yang pasti, atau kemaslahatan hakiki insan secara nyata maka ianya juga bukan dari ajaran Islam sama sekali.

Kata sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H):

"Manusia diutuskan ke muka bumi ini sebagai khalifah dan bertanggungjawab untuk memakmurkan bumi Allah. Manusia telah diwajibkan oleh Allah untuk beriman kepadaNYA. Janji ini telah di buat sejak manusia di alam rahim lagi dengan disaksikan oleh para malaikat. Antara kewajipan yang mesti ditunaikan oleh manusia ialah menunaikan solat."


Sabda Rasullah SAW;

“Betapa ramai orang yang mendirikan solat (tetapi) habuan dari solatnya hanyalah penat lelah dan letih lesu jua.”(Hadith riwayat an-Nasai).

Sabda baginda lagi yang bermaksud;

“Sesiapa yang solatnya tidak dapat menghalangnya dari mengerjakan perbuatan keji dan mungkar, bererti dia bukan bertambah (dekat) dengan Allah melainkan dia semakin bertambah jauh daripada Allah.” (Hadith riwayat Ali bin Mabad dan juga at-Tabrani).

Solat itu tiang agama

Firman Allah yang bermaksud;
"Maka dirikanlah solat (yang menjadi tiang agama), sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."
(Surah An-Nisa’ ayat 103).

Solat merupakan tiang agama. Sesiapa yang mendirikan solat, dia telah mendirikan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, maka dia telah meruntuhkan agama (maksud Hadith). Oleh kerana, solat itu wajib, maka mempelajarinya juga wajib. Oleh kerana mempelajarinya wajib, maka orang yang mampu untuk mengusahakan dan untuk mengajarnya juga wajib berbuat demikian.

Solat (bahasa Arab: صلاة‎; pl. ṣalawāt) membawa maksud sembahyang yang dilakukan dalam agama Islam. Solat terbahagi kepada dua iaitu solat fardu dan solat sunat. Solat fardu diwajibkan ke atas umat Islam sebanyak lima kali sehari pada waktu-waktu tertentu. Solat fardu merupakan salah satu dari Rukun Islam. Solat sunnat pula solat-solat yang dilakukan untuk tujuan tertentu seperti solat sunnat hajat, taubat dan sebagainya. Mengerjakannya pula adalah tidak wajib (sunnat).

Hadith :
“Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Jikalau tidak menjadi keberatan ke atas umatku, nescaya aku menyuruh mereka bersugi ketika setiap kali sembahyang.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Al-sunnah merupakan sumber penting di samping al-Quran dalam pengambilan dasar undang-undang dan petunjuk dalam beribadat. Rasulullah SAW memilih perkara yang lebih mudah untuk umatnya selagi tidak menjadi suatu dosa di sisi Allah sesuai dengan sifat agama Islam itu sendiri yang berpegang pada prinsip ringan, mudah dan kurang membebankan.

Dalam masalah ibadat terdapat berbagai kelonggaran yang diberikan (rukhsah) bagi memberi kemudahan untuk orang yang di dalam musafir, sakit atau menghadapi kepayahan (darurat) bergantung pada situasi yang dialami.

Hal ini berlaku kerana dengan kemudahan dan keringanan yang diberikan, diharapkan manusia akan terdorong ke arah kebaikan dan akhirnya dapat berpegang teguh dengan ajaran Islam. Setiap hukum dan perundangan yang digariskan di dalam Islam bukanlah untuk menyulitkan manusia tetapi untuk mengawal keselamatan dan menjamin kesempurnaan hidup mereka seluruhnya .

Kemudahan ini turut diperlihatkan dalam perlaksanaan solat. Contohnya, sekiranya seseorang tertinggal solat fardu, wajib baginya untuk mengulangkannya dengan niat qada. Manakala bagi mereka yang musafir, mereka diharuskan bagi solat dengan menqasar dan menjamakkannya.

Ibadah solat mengandungi pelbagai jenis hikmah dan rahsia. Hikmah dan rahsia ini termasuklah didikan, asuhan, faedah, dan tujuan. Amat tinggi nilainya terhadap orang yang melaksakannya.Dengan mengetahui hikmah yang terdapat dalam solat, kita akan berasa begitu bertuah dan bahagia sekali kerana dapat menerima kurniaan anugerah solat daripada Allah s.w.t, yang merupakan ibadah yang cukup berharga. Dengan itu kita akan mencintai ibadah ini dengan sepenuh rela hati dan bukanlah dengan perasaan berat atau merasakannya sebagai suatu bebanan.

Hikmah-hikmah yang dimaksudkan ialah:

1. Mengingati Tuhan, pencipta alam;
2. Menghalang perbuatan keji dan mungkar;
3. Memberikan ketenangan jiwa;
4. Mendidik akhlak mulia;
5. Menyucikan zahir dan batin;
6. Mengekalkan kesihatan tubuh badan;
7. Melatih disiplin diri;
8. Melahirkan semangat bersatu padu;
9. Meningkatkan taraf ekonomi;
10. Mendapat ilmu politik Islam; dan
11. Menjadi tanda kesyukuran dan keimanan.

Ibadah solat akan mengingatkan seorang hamba kepada penciptanya, Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Toha ayat 14 yang bermaksud:
"Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku."

Ingatan kepada Allah ini akan menimbulkan perasaan takut dan tunduk taat kepada-Nya dan juga akan menimbulkan perasaan mengagung dan membesarkan-Nya dengan sepenuh hati tanpa ada tandingan lagi.

Menghalang perbuatan keji dan mungkar
Solat juga menjadi penghalang kepada perlakuan-perlakuan buruk dan keji.

Firman Allah SWT yang bermaksud;
“Dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari angara keji dan perbuatan durjana, dan sesungguhnya mengingati Allah itu adalah lebih besar (faedah dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahi apa yang kamu kerjakan.” (surah Al-Ankabut: 45)

Dengan mengadap Allah sekurang-kurangnya lima kali sehari semalam akan menimbulkan rasa kehebatan, kebesaran dan keagungan Allah serta merasa gerun dan takut dalam hati terhadap kemurkaan-Nya. Hal ini sudah cukup untuk menjadi pengawal kepada manusia dari segala kejahatan dan pencegah semua jenis kemungkaran.

Memberikan ketenangan jiwa

Selain itu, ibadah solat juga mampu melahirkan ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran,membentuk hati yang tabah, damai lagi pemurah.

Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Sesungguhnya manusia itu diciptakan bertabiat keluh kesah (lagi kikir). Apabila dia ditimpa kesusahan, dia sangat berkeluh kesah, dan apabila dia beroleh kesenangan, dia amat kikir, kecuali orang-orang yang bersolat, yang adalah mereka itu terus berkekalan melaksanakan solat mereka itu.”
(surah Al-Maarij: 19-23)

Manakala Sabda Nabi s.a.w pula yang bermaksud;

“Dijadikan penyenang mata (hati)ku dalam solat,”
(Hadith Riwayat Ahmad, an-Nasai, al-Hakim dan al-Baihaqi daripada Anas bin Malik).

Mendidik akhlak mulia
Perbuatan dan bacaan dalam solat mampu mendidik dan mengasuh seseorang untuk berakhlak mulia seperti ikhlas, bersopan santun, baik tutur kata, dan menjaga maruah diri. Akhlak sebegini secara tidak langsung memberi rasa malu kepada seseorang itu untuk mendedah aurat di khalayak ramai. Sifat malu itu juga merupakan tanda-tanda orang yang beriman. Dengan demikian perlaksanaan solat akan membentuk dan menghasilkan insan yang berperibadi luhur dan mempunyai sifat-sifat yang mulia sebagai seorang muslim.

Menyucikan zahir dan batin
Selain itu, solat juga melatih diri seseorang supaya sentiasa besih zahir dan batin. Suci dari kekotoran luaran dan suci dari kekotoran dalaman seperti khianat, riak, ujub (sombong) dan lain-lain lagi. Kemurnian jiwa raga tersebut dapat diperolehi daripada pembersihan hati dari syirik khafi dan jail dengan tunduk dan sujud kepadaNYA. Selain itu, kita juga diwajibkan untuk bersuci dari hadas dan najis serta berpakaian bersih beserta bau-bauan sebelum menunaikan solat. Hal ini akan membentuk seseorang yang bersih dari segi zahirnya.

Mengekalkan kesihatan tubuh badan
Ibadah solat bukan sahaja mementingkan penjagaan kebersihan. Malah ibadah ini juga menghasilkan pergerakan tubuh badan seperti kita sujud, takbir,ruku’, duduk antara dua dan sujud. Gabungan kebersihan dan pergerakan dapat membantu kita untuk mengekalkan kesihatan dengan melancarkan perjalanan darah, dan juga menyegarkan urat saraf. Hal ini dapat memberi kecergasan kepada tubuh badan.

Melatih disiplin diri

Ibadah solat juga melatih kehidupan yang berdisiplin dan mengikut peraturan melalui penjagaan waktu solat, berbaris dalam saf,tata tertib dalam menunaikan solat,adab sebelum,semasa dan selepas menunaikan solat serta kewajipan mengikut imam ketika solat berjemaah. Hal ini secara tidak langsung dapat melatih seseorang umat islam agar berdisiplin.

Melahirkan semangat bersatu padu

Sebagai contoh melalui solat berjemaah dan solat Jumaat, semangat perpaduan, bekerjasama dan mahabbah (kecintaan) dapat ditanam dan dipupuk. Semangat ini dapat dibentuk melalui interaksi yang terjalin apabila berkumpul beramai-ramai untuk mengerjakan ibadah solat. Semangat sebegini mampu menjadi pemangkin kepada lahirnya sebuah masyarakat dan seterusnya membentuk negara yang kuat,maju,bahagia dan damai.

Meningkatkan taraf ekonomi

Dalam mendirikan ibadah solat, kita diwajibkan supaya menutup aurat. Kita menggunakan pakaian untuk menutup aurat. Manakala penghasilan pakaian pula memerlukan kepada penanaman kapas, penyediaan peralatan-peralatan pertanian, kilang-kilang memproses kapas, dan sebagainya untuk dijadikan kain.

Untuk meningkatkan penghasilan pakaian misalnya, memerlukan kemahiran, ilmu pengetahuan, sains dan teknologi.Begitu juga akan halnya dengan peluang pekerjaan, peluang usahawan, yang mana sama-sama menjadi aset kepada kemakmuran rakyat dan kestabilan ekonomi umat Islam, serta keutuhan negara.

Oleh itu,secara tidak langsung solat juga akan turut mendorong umat Islam supaya berkecimpung dalam kegiatan-kegiatan ekonomi dan seterusnya meningkatkan taraf ekonomi umat islam sendiri.

Mendapat ilmu politik Islam
Melalui kewajipan berjemaah dalam solat, umat Islam telah diajar sistem politik pemerintahan Islam.Dalam solat berjemaah, makmum diwajibkan mengikut imam serta menegurnya apabila terlupa atau tersalah.

Dalam sebuah negara pula rakyat diwajibkan mentaati pemerintah tanpa boleh menderhakainya selagi tidak melanggar perintah Allah. Menurut didikan berjemaah rakyat hendaklah menegur dan mengkritik secara membina terhadap pemerintah apabila terdapat penyelewengan atau kesilapan di dalam pemerintahannya. Sementara di pihak pemerintah pula wajib menerima teguran dengan bijaksana daripada rakyat bukannya bersifat diktator dan kuku besi.

Sekiranya hikmah solat diamalkan oleh kedua-dua belah pihak, saya percaya tidak akan timbul sebarang tentangan, pemberontakan dan huru hara. Dengan demikian barulah akan tercapai hasrat untuk mewujudkan sebuah negara seperti yang disebut oleh Allah dalam surah Saba’ ayat 15 yang bermaksud,

"Negara yang baik dan (direstui oleh) Tuhan yang Maha Pengampun."

Menjadi tanda kesyukuran dan keimanan

Sebagai hambaNYA kita wajib tunduk dan taat kepadaNYA dengan malakukan segala perintahNYA. Solat adalah antara tanda kesyukuran dan tanda keimanan kepada Allah. Hal ini telah disebut oleh Rasullulah SAW dalam habis baginda.

Sabda Rasullulah SAW yang bermaksud,

“Setiap sesuatu itu ada tandanya, dan tanda iman itu ialah solat.”


Demikianlah antara kelebihan-kelebihan solat. Namun banyak lagi hikmah-hikmah yang terkandung dalam ibadah solat, sama ada yang dapat kita ketahui atau pun tidak kerana sesungguhnya DIA-lah yang Maha Mengetahui.

Cukuplah dengan apa yang telah disebutkan itu untuk menjadi rangsangan kepada kita agar mencintai ibadah solat. Semoga dengan mengetahui dan mengerti hikmah dan rahsia solat akan membuatkan kita bertambah cinta terhadap solat dengan taufiq, hidayah dan inayah Allah SWT dan seterusnya akan menjadikan kita khusyuk dalam menunaikannya.

Dengan itu insya-Allah kita akan termasuk dalam golongan yang telah disebutkan oleh
Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud,

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman, (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solat mereka.” (Surah Al-Mukminun: 1- 2)

Matlamat hikmah solat tersebut tidak akan terhasil sekiranya seseorang yang mengerjakan solat itu tidak mengerti, tidak memahami dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menghayati kenikmatannya dan merealisasikan hikmah ini dalam kehidupan.

“Bersamalah kita mencari kemanisan dalam beriman agar kehidupan terus diberkati dan dirahmati Allah serta akan sentiasa berada dalam perlindunganNYA”

“Ya ALLAH janganlah Engkau palingkan hati-hati kami setelah Engkau berikan kami petunjuk dan hidayah-MU, hanya kepada-MU kami berserah, dari Engkau kami datang dan kepada-MU jua kami kembali.”






Disediakan oleh; Mohamad Alkarim Bin Othman 205749

No comments:

Post a Comment