Ada apa dengan cinta??Mungkin persoalan inilah yang menjadi tanda tanya bagi sesiapa saja yang baru mengenal erti sebenar cinta. Cinta adalah bersifat subjektif. Oleh itu,definisi berkenaan cinta terlalu luas untuk ditafsirkan oleh setiap orang yang sememangnya selalu mencari kesempurnaan dalam hidup mereka. Cinta adalah emosi positif yang amat kuat dan apabila cinta ini disalurkan dengan cara yang positif ia akan membuatkan kita sentiasa berada dalam arus tenaga positif,sekaligus menjadikan kita rasa tenang, bahagia, gembira, bebas dari tekanan dan juga bebas dari perasaan gundah. Cinta terbahagi kepada tiga kelompok yang mempunyai maksud yang tersendiri,antaranya ialah cinta kepada maha pencipta, cinta kepada ibu bapa dan cinta kepada sesama manusia atau pasangan.
Cinta adalah salah satu kekuasaan Allah S.W.T, ia menjadi pendorong dalaman untuk kita beribadah dengan lebih rajin. Allah maha pengasih lagi maha penyayang, sudah tentu Dia menyayangi hamba-hambanya. Maka sebab itulah Allah mengurniakan rasa cinta di dalam hati kita supaya kita semakin kenal siapa pencipta kita. Dalam mencari cinta Allah, kita seharusnya menjadikan segala perintah dan larangan-Nya sebagai pegangan hidup kita ke arah mendapatkan cinta yang sejati dari Allah S.W.T. Ini adalah kerana wujudnya manusia dimuka bumi ini adalah sebagai khalifah iaitu pemimpin bagi seluruh makhluk di dunia ini dan kita juga telah diberikan pilihan untuk mengatur kehidupan sendiri mengikut tuntutan atau syariat islam.
Cinta menurut islam ialah cinta kepada Allah S.W.T dan bukannya cinta kerana tuntutan nafsu semata-mata yang selalu mendorong ke arah perkara yang dimurkai. Sesiapa yang telah menemui cinta sejati Allah S.W.T, mereka tidak akan sama sekali tertipu oleh keindahan duniawi dan mereka hanya akan mengabadikan diri mereka kepada kesempurnaan Ilahi untuk mendapat cinta Allah yang hakiki. Dalam hal ini, manusia yang hatinya telah terikat dengan cinta Allah akan melakukan segala perbuatan mereka berdasarkan keredhaan Allah S.W.T. Terdapat beberapa cara meningkatkan cinta kepada Allah S.W.T antaranya ialah melalui penghayatan keatas kebesaran dan keagungan Allah S.W.T. Hal ini demikian kerana, melalui perasaan kagum dengan kesempurnaan ciptaan Allah akan lahir dengan sendirinya perasan cinta dalam diri dan sekaligus akan meningkatkan rasa cinta kita kepada-Nya. Seterusnya melalui aktiviti-aktiviti seperti bersolat,berpuasa dan pengamalan Amar Makruh dan Nahi Mungkar. Hal ini dengan sendirinya akan menimbulkan perasaan rendah diri dan cinta kepada Allah dengan segala nikmat yang telah dikurniakan kepada kita seperti nikmat kesihatan tubuh badan dan sebagainya.
Seterusnya ialah motivasi cinta berkenaan cinta kepada kedua-dua ibu bapa. Ibu bapa merupakan insan yang amat penting dalam hidup setiap manusia, tanpa mereka siapalah kita didunia ini. Setiap anak haruslah menghormati, menyayangi, berbakti serta membalas segala jasa ibu bapa yang telah banyak berkorban tanpa mengira penat lelah serta keringat yang telah mereka curahkan kepada kita. Segala yang dilakukan oleh mereka adalah semata-mata untuk melihat kejayaan anak-anak mereka apabila dewasa kelak. Setiap ibu bapa tidak mengharapkan balasan kebendaan atau kemewahan dari anak-anak mereka tetapi mereka hanya ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran mahupun dalam hidup. Dahulu kita dapat melihat walaupun mempunyai ramai anak, ibu bapa tidak pernah merungut dan masih lagi mampu menjaga anak-anak dengan sabar walaupun hidup dalam serba kekurangan. Kini, anak-anak yang dahulunya dijaga bagai menatang minyak yang penuh sanggup membiarkan ibu bapa mereka yang sudah tua lagi uzur tinggal di rumah orang-orang tua. Hal ini demikian kerana, anak-anak zaman sekarang menganggap ibu bapa mereka yang uzur akan membebankan mereka disamping sentiasa sibuk dengan urusan di tempat kerja atau sibuk dengan hal-ahal yang berkaitan keluarga mereka. Oleh itu, sebagai seorang anak kita sepatutnya tidak perlulah menghantar ibu bapa ke rumah orang-orang tua, ini akan membuatkan mereka bertambah kecewa dan sedih dengan sikap kita yang tidak mengambil berat keatas kebajikan mereka. Sebagai anak yang soleh dan solehah, kita sepatutnya membalas segala jasa ibu bapa dengan menjaga mereka sepenuh hati dan ikhlas. Hal ini sedikit sebanyak akan membuatkan mereka gembira dengan adanya anak-anak mereka yang sanggup menjaga mereka. Terdapat beberapa cara untuk kita menunjukkan perasaan sayang terhadap ibu bapa kita, antaranya ialah dengan meluahkan perasaan sayang melalui ucapan, rasa hormat, dan sebagainya.
Selain itu, kita juga haruslah selalu mendoakan kesejahteraan, keselamatan serta keampunan kepada mereka agar mendapat keberkatan dari Allah. Di samping itu juga,kita sebagai anak seharusnya selalu mengembirakan ibu bapa kita antaranya ialah dengan cara membuat kejutan untuk sambutan ulang tahun perkahwinan mereka. Hal ini akan membuatkan mereka rasa dihargai dan penting bagi anak-anak mereka. Untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan,kita sebagai anak seharusnya menunjukkan rasa sayang kepada mereka dengan sentiasa bersalam dan mencium tangan mereka apabila setiap kali kita hendak keluar mahupun pulang ke rumah.
Motivasi cinta yang terakhir ialah berkenaan cinta kepada sesama manusia atau pasangan. Cinta yang tidak disulami perasaan kasih dan sayang serta tanggungjawab ibarat sebuah bahtera yang tiada nakhoda yang hanya menunggu untuk karam di lautan duka. Manusia hari ini terlalu obses terhadap cinta, apabila ditanya anak-anak muda atau remaja tentang cinta mereka mampu menjawab dengan mudah seumpama A,B,C dan 1,2,3 tetapi pada hakikatnya mereka tidak tahu erti sebenar cinta itu, yang mereka rasai hanyalah tuntutan hawa nasfu semata-mata. Melalui media massa atau elektronik, kita sering kali dikejutkan dengan isu pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Hal ini demikian kerana, anak-anak muda atau remaja sekarang mempunyai tahap pemikiran yang cetek tentang cinta, bagi mereka cinta adalah dengan menunjukkan kesetiaan diri pada pasangan masing-masing.Adakah pandangan sedemikian benar?? Kata Hasrizal Abdul Jamil dalam karya motivasinya yang berjudul Bercinta Sampai Ke Syurga. “tidakkah pelik jika ada pasangan yang hangat bercinta tetapi tidak terfikir untuk bersama selama-lamanya??”
Dalam hal ini, didikan agama memainkan peranan penting dalam menentukan sahsiah remaja zaman sekarang yang sememangnya telah menyimpang jauh dari norma-norma masyarakat yang sepatutnya. Remaja zaman sekarang sepatutnya perlu di dedahkan secara meluas berkenaan rasa tanggungjawab terhadap perbuatan yang telah mereka lakukan. Justeru itu,setiap pasangan kekasih perlu diberikan motivasi yang tepat dalam mengenal erti sebenar cinta itu sendiri kerana cinta itu lahir dari hati yang bersih yang penuh dengan kemaafan dan rasa memaafkan,cinta yang tepat akan membuatkan kita berasa bahagia dan akan menjadikan kita bersemangat tinggi, penuh motivasi dalam berusaha mencapai apa yang kita cita-citakan. Itulah sebabnya kita sebagai orang islam disarankan untuk bernikah apabila perlu supaya cinta yang ada dihati dapat diluahkan dengan cara yang halal. Cinta berlandaskan agama akan membuatkan kita mengecapi kebahagiaan dan biarlah cinta kita sesama manusia membawa kita kepada kerajinan beribadah untuk mengharapkan keredhaan Allah dalam hidup kita. Moga dengan itu, rezeki dan usaha kita akan mendapat berkat yang melimpah ruah.
Kesimpulannya, cinta yang sebenarnya adalah cinta yang akan membawa seseorang itu dari satu tahap kepada tahap yang lebih baik dari sebelumnya.
Cinta akan dapat dihayati dengan indah apabila kita tahu cara-cara untuk menghargai cinta itu sendiri dan ingatlah bercinta memang mudah untuk dicintai juga mudah tapi untuk dicintai oleh seseorang yang kita cintai itulah yang amat sukar diperolehi.
DISEDIAKAN OLEH : MOHAMAD HAFIZ B HAMID
NO MATRIK : 206646
No comments:
Post a Comment