“Sahabat yang baik umpama minyak wangi, mungkin dia akan memberikannya kepadamu, atau kamu akan membeli darinya, atau kamu akan mendapat aroma harum darinya."
Tetapi sahabat yang tidak baik diumpakan seperti peniup dapur tukang besi, mungkin dia akan membakar pakaianmu, atau mungkin kamu akan mendapat busuk darinya.”
-Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim-
Semenjak daripada kita mengenali dunia sehingga kita meninggalkan dunia kita pasti di kelilingi oleh orang ramai. Selain daripada keluarga, orang yang paling penting dalam hidup kita ialah kawan. Bermacam-macam ragam kawan kita jumpa sepanjang hidup kita. Persoalannya adakah kawan-kawan itu akan kekal menjadi kawan kita untuk selamanya atau hanya sementara. Datang dan pergi seseorang kawan dalam hidup kita adalah lumrah yang biasa. Apa yang membuatkan ianya menjadi luarbiasa ialah kita mampu mencipta kenangan yang terindah bersama-sama kawan dan mereka mampu mengingati perkara yang manis kita walaupun sekian lama tidak berjumpa. Hal ini menandakan kita mampu menjadi kawan yang baik.
Bagaimana kita ingin menjadi seorang kawan yang baik? Semuanya adalah lahir dari hati yang ikhlas dan pemikiran yang rasional. Apabila kita ingin menjalinkan persahabatan biarlah disertai dengan hati yang ikhlas agar persahabatan itu menjadi lebih berkat. Kadangkala agak sukar untuk kita menerima kelakuan seorang kawan dengan hati yang ikhlas. Kita bukanlah manusia yang sempurna untuk menerima kelakuan buruk orang terhadap diri kita. Tetapi kita boleh membuat diri kita bersikap lebih positif untuk menerima. Memahami perwatakan kawan kita dan kita cuba menyesuaikan diri dengannya adalah lebih baik dari mengubah perangai dia mengikut acuan kita selagi ianya tidak bertentangan dengan agama. Kita seharusnya menjadi orang yang disenangi oleh kawan-kawan agar dapat memberi keseleseaan kepada kawan-kawan apabila besama-sama dengan kita. Tidak dinafikan bukan mudah untuk kita menjadi orang yang senang untuk di damping dan berupaya untuk memenuhi hati semua pihak. Kita cuma perlu menjadi diri kita sendiri dan terpulang lah kepada kawan untuk menilai diri kita. Setiap benda di dunia ini mempunyai dua muka, contohnya seperti duit dalam tangan. Duit itu boleh di gunakan dengan cara yang baik dan juga cara yang jahat. Ianya akan jadi baik bila ianya digunakan untuk membeli barangan yang halal dan akan menjadi tidak baik apabila di gunakan di jalan yang salah. Begitu juga dengan manusia, kadangkala boleh menjadi baik dan kadangkala akan menjadi sebaliknya. Semuanya terletak pada diri kita sendiri. Sekiranya kita mahu orang menjadi kawan yang baik untuk kita, kita seharusnya menjadi kawan yang baik terlebih dahulu kepada orang lain.
Selain itu, sifat yang disenangi oleh kawan ialah mengelak untuk menjadi pengkritik. Kritikan adalah sesuatu yang sensitif dan kawan kita akan mempertahankan diri apabila dikritik oleh kita, dan bermula dari sinilah pertelingkahan kecil akan berlaku dan akan melukakan hati kawan kita. Hal ini sepatutnya dielakkan kerana akan menjadikan hubungan lebih renggang. Sekiranya kita perlu untuk memperbetulkan kelakuan mereka, kita seharusnya menegur dengan cara yang lembut agar mereka dapat menerima kritikan itu dengan lebih baik dan tidak terasa hati. Kita berkawan mengikut keperluan-keperluan yang kita kehendaki, mengikut citarasa dan piawaian kita sendiri. Semuanya kita mengikut keupayaan kita sendiri jadi jangan keterlaluan berharap kepada kawan itu dibentuk mengikut acuan kita. Semua manusia sama di sisi-NYA, oleh itu kita tidak berhak mengkritik orang lain dan mendesak mengikut cara kita. Kita tidak mempunyai hak untuk menilai seseorang kerana kita tidak dapat mengetahui kandungan di dalam hatinya.
Sesekali jadilah kawan yang mendengar dari kawan yang asyik bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaan kawan, kerana dia juga manusia biasa dan mempunyai hati dan perasaan yang boleh terluka dan kadangkala akan berasa takut. Dia juga ada kelemahan dan memerlukan kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup. Kita selalu melihatnya ketawa tetapi mungkin dia tidak setabah yang kita sangka. Di sebalik senyumannya itu mungkin ada cerita sedih yang ingin diluahkan. Disebalik ketenangannya mungkin tersimpan seribu kekalutan. Kita tidak akan tahu tetapi sekiranya kita cuba menjadi kawan yang baik, kita akan tahu semuanya.
NO MATRIK: 200264
No comments:
Post a Comment