PENGENALAN
Perkataan motivasi adalah berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris - "MOTIVATION". Perkataan asalnya ialah “MOTIVATE” yang juga telah dipinjam oleh bahasa melayu kepada MOTIF, yakni bermaksud tujuan. Di dalam surat khabar, kerap pemberita menulis ayat "motif pembunuhan". Perkataan motif di sini boleh kita fahami sebagai sebab atau tujuan yang mendorong sesuatu pembunuhan itu dilakukan. Jadi, ringkasnya, oleh kerana perkataan motivasi adalah bermaksud sebab, tujuan atau pendorong, maka tujuan seseorang itulah sebenarnya yang menjadi penggerak utama baginya berusaha keras mencapai atau mendapat apa juga yang diinginkannya sama ada secara negatif atau positif. Motivasi amat penting dalam kalangan pelajar.
MASA ITU EMAS
Setiap hari seseorang akan menjalani rutin harian seperti makan,tidur,belajar,beriadah atau bersosial dan sebagainya. Namun,masa seseorang itu tidak dirancang dan di urus dengan rapi mengikut pelan atau jadual yang telah diprogramkan mengikut acuan dan kehendak sendiri. Setiap orang menpunyai jadual yang tersendiri yang telah disusun dalam fikiran mereka. Namun,akibat tidak merancang dengan baik menyebabkan berlaku pembaziran masa yang tidak dikawal dan tidak disedari. Sebagai contoh,seorang pelajar yang sedang belajar di sebuah institusi pendidikan,pelajar tersebut mempunyai jadual belajar tetapi tidak mempunyai masa untuk mempraktikkannya disebabkan oleh pelbagai faktor seperti pengaruh rakan yang mengajak untuk berbual kosong,lepak dan melakukan sesuatu perkara yang tidak berfaedah. Hal ini secara tidak langsung akan menjejaskan prestasi pelajar tersebut dalam pelajarannya. Kualiti masa yang sepatutnya dijaga kurang diberi perhatian dan dikawal boleh menjejaskan prestasi seseorang dalam pelbagai bidang yang diceburinya.
Masa yang ada agak terbatas. Lebih-lebih lagi dalam dunia serba moden dan canggih ini,masa yang ada berlalu dengan begitu pantas sekali tanpa menunggu seseorang. Masa amat penting bagi seorang pelajar dalam menuntut ilmu pengetahuan. Masa akan berlalu meninggalkan pelajar jika pelajar leka dalam menjalani kehidupan seharian tanpa disedari. Jika pelajar gagal menggunakan manfaat masa dengan betul akan merugikan pelajar tersebut. Oleh yang demikian,kecekapan mengurus masa adalah satu keperluan penting bagi memastikan kita tidak ditinggalkan oleh arus kemajuan dan pembangunan pendidikan. Zaman remaja merupakan zaman penting yang perlu dimanfaat dengan aktiviti berfaedah sebelum menjelang hari tua. Didalam AL-QURAN,surah AL-‘ASR ayat satu hingga tiga menyebut:
1. Demi masa!!
2. sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
3. kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
Surah ini menunjukkan dengan jelas betapa pentingnya menghargai masa. Masa sentiasa bergerak dengan pantas,semakin hari semakin jauh meninggalkan kita. Oleh itu mereka yang tidak memanfaatkan masa yang sepatutnya diuruskan dengan cekap dan sistematik akan kerugian besar. Ketahuilah masa tidak pernah rehat. Masa sentiasa bergerak ke depan dan berlalu tanpa menunggu sesiapa. Oleh itu beringatlah supaya tidak dikalahkan oleh masa.pepatah arab ada menyatakan “Masa itu ibarat pedang,jika saudara tidak menggunakannya untuk memotong,ia akan memotong saudara”.
TIPS MENJAGA MASA:
1.SENARAIKAN TUGAS
Senaraikan semua tugas yang perlu dilakukan dalam seminggu hingga dalam tugas seharian. Melalui cara ini gambaran menyeluruh mengenai tugas yang perlu dilakukan dapat dilihat dengan teliti dan diperhalusi. Selepas itu,bahagikan tugas-tugas besar kepada tugas-tugas yang lebih kecil. Anda dapat mengetahui apa yang sepatutnya dilakukan dalam tempoh masa itu dan membahagikan bahagian mana yang penting dan perlu dilakukan segera dan yang penting tetapi tidak segera,tidak penting tetapi segera dan tidak penting dan tidak segera. Melalui cara ini secara tidak langsung memudahkan tugas itu dilaksanakan.
2.JANGAN MENANGGUH KERJA
Sering menjadi tabiat pelajar untuk menangguh kerja yang diberikan kepada mereka. Jangan menangguh kerja yang ada. Mulakan dan lakukan kerja dengan penuh minat dan konsisten. Tabiat menangguh-nanguh tugas yang ada sering berlaku dikalangan pelajar terutama remaja yang tidak pandai mengurus masa dengan cekap dan berkesan. Sebilangan pelajar suka melakukan kerja disaat akhir dalam keadaan tergesa-gesa. Hasil kerja seorang pelajar sebenarnya melambangkan keperibadian dan tabiat mereka. Oleh itu,jika pelajar diberikan sesuatu kerja atau tugas,mereka sepatutnya tidak menangguh kerja kerana melakukan kerja disaat akhir akan menyebabkan kualiti sesuatu kerja berkurangan berbanding kerja yang dibuat awal dan tidak bertangguh. Pelajar juga hendaklah bersikap realistik dalam penggunaan masa. Penggunaan masa mestilah lebih realistic berdasarkan kekuatan dan kelemahan yang disedari. Atur masa supaya bersesuaian dengan potensi diri yang dikesan terdapat dalam diri seorang pelajar.
3.MERANCANG
Jangan merancang untuk melakukan sesuatu perkara diluar kemampuan pelajar. Perancangan yang dilakukan hendaklah masih dalam batas masa yang telah dibuat. Manusia juga memerlukan rehat yang cukup bagi menghasilkan kerja yang lebih berkualiti. Anda boleh berfikir secara rasional sama ada anda mampu atau tidak untuk melaksanakan perancangan yang telah dibuat atau dirangka sebelum ini. Kenal pasti apa kekuatan dan kelemahan yang ada. Sedarkan diri pada apa yang kita boleh buat. Jangan hiraukan apabila minda cuba mengatakan ‘tiada’ ataupun ‘tidak’. Selain itu,sempurnakan tugas yang telah dibuat dengan sebaik mungkin. Tidak guna merancang jika setiap perancangan tidak diikuti dengan sebaiknya. Pelajar perlu mempunyai disiplin yang tinggi dan sentiasa bersemangat dalam melaksanakan tugas mengikut jadual waktu yang dirangka. Sempurnakan tugas satu persatu bagi merealisasikan perancangan dan matlamat yang ingin dicapai. Andai kata gagal dalam mengendalikannya,hadapilah kenyataan itu dengan sikap positif dan terbuka.
Nabi Muhammad turut berpesan bagaimana untuk memanfaatkan masa dalam lima keadaan:
1. Masa muda sebelum tua
2. Masa sihat sebelum sakit
3. Masa kaya sebelum miskin
4. Masa lapang sebelum sibuk
5. Masa hidup sebelum mati
Masa remaja adalah masa muda yang tidak patut dipersiakan dengan begitu sahaja. Peringkat remaja adalah peringkat kita mempunyai kecergasan fizikal dan mental yang tinggi. Justeru,pelajar perlu tahu menggunakan masa dengan berkualiti dan berkesan supaya masa yang ada tidak dipersiakan dengan begitu sahaja.
STRESS
Apa yang anda faham tentang stress. Stress boleh dikatakan dalam dua keadaan yang asalnya dari perkataan eustress dan distress. Eustress bermaksud dapat sesuaikan diri dan membina diri. Distress pula lawan dari maksud definisi sebelum ini iaitu tidak dapat menyesuaikan dan merosakkan diri. Dari definisi yang dijelaskan diatas,kita perlu tahu bahawa stress tidak bermakna hanya membawa keburukan ke atas diri kita. Malah ia juga penting untuk kita dapat sesuaikan diri dan mempertingkatkan diri dalam sesuatu keadaan. Apatah lagi untuk psikologi manusia mahu pun motivasi individu itu sendiri. Terdapat banyak punca stress yang mungkin berpunca daripada individu itu sendiri ataupun melibatkan kelompok manusia dan alam sekeliling. Punca stress sentiasa berubah-ubah mengikut tahap umur dan kematangan seseorang. Terdapat faktor dalaman seperti individu,kekeluargaan dan juga persekitaran adalah antara faktor yang mendorong berlakunya stress. Tekanan juga boleh berlaku melalui faktor bagaimana cara seseorang itu berfikir,melalui perwatakannya dan bagaimana seseorang itu mengambil langkah dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Selain itu,stress juga berpunca daripada faktor kekecewaan,konflik,kehilangan sesuatu,masalah hubungan sesama manusia serta tanggungjawab dan perubahan peranan. Di samping itu selalunya perubahan dalam apa jua perkara berpotensi untuk menyebabkan berlakunya stress. Lagipun,perubahan sering berlaku dalam suasana yang tidak pasti dan berkaitan dengan hal-hal yang penting ke atas seorang pelajar. Oleh itu,perubahan merupakan perkara utama yang membawa kepada stress dikalangan pelajar. Pelajar yang sudah biasa dengan system yang terdahulu mungkin tidak dapat menerima perubahan yang berlaku. Contohnya,pertambahan subjek baru dalam matapelajaran yang diambil akan memberi tekanan kepada pelajar kerana pelajar sudah terbiasa dengan jadual yang terdahulu. Pelajar akan memberontak akibat perubahan yang tidak diingini yang seterusnya akan membawa kepada stress. Faktor-faktor peribadi yang berpotensi dalam menyebabkan stressseperti kematian dalam keluarga,penceraian dan masalah kewangan yang seterusnya akan menjejaskan pembelajaran seseorang pelajar.
CARA MENANGANI TEKANAN DALAM KALANGAN PELAJAR
Menanam tabiat yang dapat meningkatkan halangan kepada stress. Contohnya mengamalkan pemakanan yang seimbang,hidup yang sihat,mengimbangi kehidupan dan melakukan kerja secara tenang. Selain itu juga,pelajar juga boleh menghadapi masalah yang dihadapi secara positif,contohnya menganggap segala kesusahan atau musibah yang dating sebagai penghapus dosa. Manakala kesedihan,kesusahan didunia adalah sebagai kegembiraan diakhirat. Pelajar juga perlu berkongsi masalah dan meluahkan perasaan kepada kawan yang rapat dan boleh dipercayai. Selepas pelajar tersebut meluahkan perasaan atau berbincang dengan seseorang,bebanan yang dihadapi dapat dikurangkan. Jika masalah yang dihadapi terlalu besar hingga tidak dapat diselesaikan bersama kawan,pelajar boleh merujuk kepada khidmat guru kauseling yang berada disekolah masing-masing. Pelajar perlu berbincang masalah yang dihadapi dan tidak memendam begitu sahaja.
Pelajar juga boleh melakukan sesuatu bagi menghilangkan kebosanan dengan mengisi masa yang ada dengan aktiviti yang berfaedah seperti beriadah,bersenam bersama rakan,cuba untuk mengimbangi aktiviti supaya masa yang ada lebih tersusun dengan aktiviti yang berfaedah dan seterusnya dapat melepaskan tekanan yang dihadapi. Disamping itu juga,ubahsuai prinsip hidup dan bersedia untuk menerima stress sebagai sebahagian daripada kehidupan seorang pelajar. Belajar untuk menerima tekanan dan menganggap stress sebagai teman yang patut dihindari tetapi dalam masa yang sama pelajar perlu mengenali dan mengetahui cara untuk menguruskannya dengan bijak.
Kesimpulannya,masa merupakan perkara yang penting bagi setiap manusia. Jika tidak menggunakannya dengan berhemah,maka menjadi kerugian kepada manusia yang tidak dapat diganti dengan wang ringgit. Oleh itu,sesuai dengan peribahasa “MASA ITU EMAS”seseorang perlu tahu akan kepentingannya serta manfaat yang dapat diambil dari masa. Bagi stress pula,stress yang terkawal dapat menambahbaikan hidup kita dan stress yang berpanjangan akan memudaratkan diri. Oleh itu,tangani stress dengan melakukan perkara yang dapat mengimbangi keadaan tersebut. Jangan terlalu ambil mudah kerana ia boleh memburukkan lagi keadaan.
DISEDIAKAN OLEH : AHMAD BAZLI HAFIZ BIN AB LATIF
NO MATRIK : 206661